#MalaysiaYangMuda : Tey Tat Sing

Editorial

#MalaysiaYangMuda merupakan sebuah siri wawancara ringkas mingguan bersama teman-teman lingkungan dan penggerak politik, seni, dan budaya yang berterusan menghidupkan Malaysia serta isi warganya.

Bersama kita minggu ini, Tey Tat Sing, sosok yang cukup berpengalaman di dalam bidang senibina serta kerja kebudayaan lainnya. Salah seorang pengasas tetawowe atelier, beliau juga seorang yang aktif bersama beberapa kelompok pereka serta pendidik di KongsiKL, antara lainnya.

Lewat wawancara yang cukup ringkas ini, kami bertanyakan dirinya tentang kepersilangan senibina dan produksi budaya lainnya, apa yang diertikan sebagai ‘senibina Malaysia’ dan teks di dalam memahami kota. Dengarkan suaranya!

Tey Tat Sing. Foto oleh Napat Charitbutra. Sumber: https://art4d.com/2016/08/future-communities-archidex-2016

MM: Malaysia Muda / Tey Tat Sing: TS

MM: Menarik untuk memahami bagaimana praktis Tat Sing sebagai seorang arkitek tetapi pada waktu yang sama aktif dengan sastera, instalasi seni serta kerja-kerja budaya. Bagaimana ketiga-tiga elemen ini mempengaruhi perspektif Tat Sing sebagai seorang arkitek?

TS: Pertama sekali kena diperjelaskan bahawa saya bukan arkitek bertauliah. Gelaran yang lebih tepat ialah perekacipta senibina. Kerja saya terlibat dengan karya kreatif di bidang arkitektur / bangunan. Ketiga-tiga bidang, iaitu arkitektur, instalasi seni dan sastera saling berkaitan antara satu sama lain. Kesemua jenis karya melibatkan proses kreatif, namun mereka mempunyai perantara, sempadan, binaan, dimensi spasial, pautan puitis dan estetik yang tersendiri. Bila ramuan bidang-bidang ini dirujuk ketika menjalani proses kreatif arkitektur, ianya membolehkan kita melihat dengan lebih mendalam dan persepsi sempadan yang lebih luas. Harap-harapnya, penghasilan karya daripada proses kreatif kacukan ini lebih ‘bernyawa’.

MM: Melihat kepada arus senibina di Malaysia, apakah wujud yang disebut sebagai ‘senibina Malaysia’ itu atau ianya sebuah percubaan yang sia-sia? Jika pun ada, bagaimana bentuknya? Jika tiada, mengapa?

TS: Memang ada pelbagai usaha yang cuba menghasilkan senibina Malaysia, ataupun ada yang kata identiti Malaysia. Cuma kebanyakan adalah percubaan ‘superficial’. Bagi saya, senibina malaysia wujud bila ianya dihasilkan secara berintegriti dengan balasan yang jujur kepada konteks tempatan. Harap-harap juga ini menjadi teras untuk membentuk senibina Malaysia yang lebih ‘berjiwa’.

MM: Mungkin Tat Sing boleh berkongsi sebuah buku / tulisan / karya / ruang yang dapat membantu jika kita mahu membina estetika sebuah kota; yang terdiri dari idea bukan saja dari konkrit atau besi semata-mata.

TS: Tiada sebuah karya tunggal yang dapat memberi pendekatan keseluruhan kepada kota. Malah dari segi estetika. Bagi saya, hasil karya yang paling dekat untuk mencapai tujuan tersebut ialah A Pattern Language yang dihasilkan oleh Christopher Alexander, seorang ahli akedemik senibina dan bandar (urbanist) dari Amerika Syarikat. Karya buku ini merangkumi pelbagai corak penempatan manusia sebagai asas pembentukan elemen-elemen kota / bandar. Saya percaya pendekatan ini adalah pokok kajian kepada pembentukan kota, dan seterusnya estetika serta bidang lain yang berkenaan.