#MalaysiaYangMuda : Johan Zolhaidi

Editorial

#MalaysiaYangMuda merupakan sebuah siri wawancara ringkas mingguan bersama teman-teman lingkungan dan penggerak politik, seni, dan budaya yang berterusan menghidupkan Malaysia serta isi warganya.

Temubual minggu ini, sidang editor bersama Johan Zolhaidi, gitaris kumpulan gitar rancak Iqbal M serta ahli kesatuan di Sosialis Alternatif. Kini, beliau turut menjalankan kajian pasca-sarjananya di bidang Geografi melihat isu perumahan dan urbanisasi di Malaysia.

Lanjutan dari gerak kerjanya yang meluas itu, kami bertanyakan kepadanya tentang huha-huha di balik membikin muzik bersama Iqbal M, perkembangan politik di Malaysia serta masa depan kesatuan sekerja di dalam membayangkan masyarakat. Layan terus!

Johan Zolhaidi. Gambar dari Writers Daily.

MM: Malaysia Muda / JZ: Johan Zolhaidi

MM: Memakai banyak topi; gitaris Iqbal M, pendukung kesatuan sekerja bersama Sosialis Alternatif dan mahasiswa pasca-sarjana bidang geografi. Bagaimana ketiga-tiga hal ini membentuk pemahaman tentang dunia hari ini?

JZ: Ketiga-tiga berkait rapat antara satu sama lain dan menjadi sebahagian daripada pengalaman aku dalam jangka masa satu dekad. Aku bermula dengan muzik atas sebab peribadi – ingin luahkan perasaan sendiri; kemudiannya mempelajari ilmu geografi atas sebab peribadi juga – ingin memahami logik modal yang menjadi tulang belakang pembangunan kota-kota dunia moden. Kedua-dua ini berbeza dengan keputusan untuk berjuang ke arah perubahan sosialisme – kerana ianya tidak lagi dilakukan atas dasar peribadi semata-mata, tetapi lebih menjurus kepada kesedaran politik dan tanggungjawab untuk menentang segala bentuk penindasan yang dilaksanakan oleh golongan borjuis. Justeru, timbulnya keperluan untuk mendapatkan pendidikan politik yang mempunyai perspektif dan teori yang jelas; ini kemudiannya dapat dipraktikkan di dalam perjuangan kelas pekerja itu sendiri.  

Namun suatu hal yang perlu ditekankan adalah keterlibatan aku di dalam perjuangan kelas pekerja bersama-sama dengan Sosialis Alternatif – seperti komrad yang lain juga, perjuangan ke arah sosialisme membantu dan membentuk pemikiran kami secara menyeluruh dan melihat kesemua isu sedia ada – baik dari segi isu peribadi mahupun umum, berkait rapat dengan persoalan kelas di bawah sistem ekonomi kapitalisme dan hubungan-hubungan sosial yang wujud melaluinya. Ianya mempengaruhi cara aku memahami industri muzik dan institusi pendidikan itu sendiri, yang tidak dapat lari daripada persoalan keuntungan sebagai motif penggeraknya. 

Ya, tidak dinafikan bahawa cita-cita yang bersifat idealistik itu rancak diperbincangkan di kalangan penggiat seni mahupun akademik – penggiat seni kerap mengutamakan persoalan idea dan praktik yang jujur dan kritikal & tidak kurang juga ahli akademik yang keras mengkritik masalah-masalah yang wujud di dalam masyarakat kita. Tetapi apabila berhubungan dengan jalan penyelesaian yang diajukan, ianya akan menjurus kepada sudut pandang yang tidak sempurna & terasing, manakala perspektif sosialis pula akan menghubung kaitkan masalah sedia ada dengan aturan masyarakat secara sistematik. 

Pembinaan budaya mahupun naratif alternatif bagi melawan hegemoni sedia ada tidak dapat menolak situasi yang menjadikan keuntungan selaku motif utama. Industri muzik arus perdana mengangkat artis-artis yang dapat mengaut keuntungan yang besar buat para pemilik syarikat rakaman manakala institusi pendidikan mengutamakan subjek-subjek yang bersesuaian dengan pembangunan ekonomi kapitalisme. Kritikan terhadap kedua-dua hal ini pada akhirnya tidak dapat lari daripada persoalan asas ekonomi yang bersangkutan dengannya dan mencakupi persoalan yang lebih luas – iaitu perubahan yang bersifat sistemik. Perubahan ini lah yang menyentuh kepentingan kekuatan gerakan buruh sebagai sebuah kuasa revolusioner yang mampu menentang penindasan kelas kapitalis. 

MM: Terlibat secara langsung dengan kesatuan sekerja, saat di mana pemahaman tentang apa itu pekerja semakin pesat berubah dinamikanya sekarang. Sejauh manakah kesatuan sekerja di Malaysia sebagai sebuah struktur politik dapat menampung dan mendesak perubahan?

JZ: Pertama sekali, kami melihat kelas pekerja sebagai satu-satunya kuasa perubahan yang mampu menentang dan mengubah aturan sedia ada. Ini disebabkan kewujudan kelas pekerja itu sendiri merupakan keperluan bagi perkembangan kapitalisme dan prasyarat kepada keuntungan yang dihasilkan oleh kelas kapitalis. Marx berhujah bahawa keuntungan yang dihasilkan oleh kelas pemodal/kapitalis tidak lain tidak bukan berasal daripada keringat kelas pekerja itu sendiri. Justeru, perkembangan kelas pekerja sebagai sebuah kuasa yang tersusun merupakan sebahagian daripada logik perkembangan sistem kapitalisme dan kedua-dua kelas mempunyai kepentingan yang secara asasnya bercanggah di antara satu sama lain. Namun, dinamikanya berbeza mengikut negara yang mempunyai latar belakang dan sejarah yang berbeza. 

Kelas pekerja di Malaysia pada suatu masa dahulu, melalui kesatuan sekerja merupakan kuasa politik yang kuat – malah dapat menundukkan kuasa penjajah sebelum ini. Tidak lupa juga, bagaimana ianya lebih mudah untuk menubuhkan kesatuan sekerja berbanding hari ini. Jadi mengikut keadaan sedia ada, peratus pekerja yang berada di dalam kesatuan adalah lebih kecil berbanding pekerja yang tidak berada di dalam kesatuan. Malah diterukkan lagi, pimpinan kesatuan sedia ada tidak lagi mengambil tindakan yang radikal dan militan; tidak ada kesedaran anti-kapitalisme dan masih melihat keharmonian pasaran bebas sebagai hal yang utama. Berbeza dengan perjuangan kelas pekerja sebelum ini, terutamanya sebelum jatuhnya Kesatuan Soviet Rusia – kelas pekerja mempunyai tradisi yang lebih kukuh dan melihat para pemodal sebagai sebuah kelas yang menindas mereka. 

Krisis yang sedang kita hadapi sekarang merupakan medan perjuangan yang penting. Pengangguran semakin meningkat dan semakin jelas bagi anak muda, tidak ada jaminan bagi kita untuk mendapatkan sebuah masa depan yang cerah. Pemotongan gaji dan penutupan syarikat sekarang memberi impak yang besar kepada para pekerja. Kita dapat jangkakan dalam era krisis ekonomi yang baru ini, anak-anak muda akan terjerumus ke dalam pekerjaan yang benar-benar menindas mereka dan tidak memberi apa-apa jaminan. Di sini pimpinan kesatuan mampu memimpin para pekerja untuk menuntut dan membela hak yang semakin terhakis. Organisasi kami menyediakan piagam pekerja – iaitu sebuah program yang menuntut pembelaan yang memihak kepada kelas pekerja dan dapat dilakukan melalui pimpinan kesatuan yang benar-benar militan dan jelas akan taktiknya. Tapi pimpinan kesatuan hanya memainkan peranan untuk menekan dan menjadi orang tengah di antara majikan dan pekerja dengan menasihati kerajaan untuk melaksanakan sebuah polisi yang bermanfaat buat pekerja. Ianya merupakan suatu hal yang merugikan, disebabkan ketiadaan perspektif kelas dan buta akan realiti yang sebenar – di mana kesemua pimpinan politik sedia ada, dengan gaji-gaji besar mereka, terang-terang mewakili kepentingan para kapitalis dan hanya akan melakukan reformasi menurut logik modal itu sendiri. 

Namun, pada suatu sudut yang lain pula – jika pimpinan sedia ada, baik daripada pihak MTUC, CUEPACS mahupun kesatuan sekerja yang lain tidak berjaya untuk menyelesaikan krisis sekarang – lambat laun ianya akan mendedahkan ketidakmampuan mereka sendiri dan tekanan kelas pekerja dari bawah akan memaksa mereka untuk melakukan tindakan yang militan. Kita dapat lihat bagaimana protes massa mahupun mogok nasional di negara-negara lain, merupakan tekanan yang diangkat daripada gerakan akar umbi dan seringkali di dalam situasi sebegini, pimpinan buruh lah yang menjadi brek kepada perjuangan sedia ada. Oleh itu, tidak mustahil bahawa hal yang sama dapat berlaku di sini juga. Pimpinan buruh yang mengagungkan keharmonian pasaran bebas pada akhirnya akan mengkhianati perjuangan kelas pekerja itu sendiri. 

Organisasi kami, Sosialis Alternatif berhujah bahawa kelas pekerja dan kesatuan sekerja perlu bergabung tenaga bagi melawan penindasan yang akan datang. Sebuah parti politik yang bertunjangkan kepentingan kelas pekerja perlu dibina secara mandiri dan dari situ, kita dapat dedahkan ketempangan para pemimpin yang tidak pernah mewakili kepentingan pekerja; sebaliknya mengutamakan kepentingan para pemodal dan pelabur yang mengeksploitasi tenaga kerja di negara kita. 

MM: Muzik dan protes memang sejalan dalam persimpangan sejarah. Pun begitu, logik politiknya cukup berbeza. Bahkan, politik seorang pengkarya dan karyanya sering  pula dibahaskan. Bagaimana kau melihat hal ini, khususnya, lewat kerja-kerja muzik bersama Iqbal M?

JZ: Secara sedar Iqbal M selaku sebuah band tidak pernah mengambil pendirian politik secara jelas. Ini dapat dilihat melalui arah tuju kami dan karya-karya yang kami hasilkan. Ya, mungkin ada yang akan melihat lirik-lirik yang dihasilkan oleh Iqbal sebagai sebuah lirik yang secara tidak langsung, mengkritik situasi sosial sekarang. Tetapi ini merupakan hal yang bersifat peribadi kerana ianya bukan objektif yang telah kami tentukan dari awal. Sedikit sebanyak, ada protes yang kami nyatakan secara tidak langsung, tetapi ianya tidak diterjemahkan ke dalam gerakan politik mana-mana pun. 

Oleh itu, dalam erti kata muzik sebagai sebuah medium protes (jika ini yang dimaksudkan) ada banyak ragamnya. Di sini, ada juga band-band tempatan yang menghasilkan lagu protes, namun pendirian politiknya sangat berbeza. Ada yang protes tapi mengambil pendirian yang reaksioner dan berat sebelah. Ini pula berkait rapat dengan pemahaman ahli muzik itu sendiri selaku individu – ada yang sangat jelas akan pendirian politiknya dan ada pula yang tak begitu jelas. Band-band sub-budaya contohnya sangat jelas akan pendirian politik mereka. Tidak lupa juga, ada pemuzik yang mempromosikan idea-idea perjuangan kelas pekerja, sosialisme mahupun anarkisme dan memberi inspirasi kepada jutaan anak muda – jadi meritnya tetap ada. 

Secara peribadi, aku percaya akan kemampuan Iqbal untuk terus menghasilkan muzik yang sesuai dengan selera anak-anak muda yang majoritinya bakal menjadi pekerja. Teman-teman yang kami kenal sepanjang perjalanan bermain muzik membuka peluang bagi aku untuk menyatakan perspektif aku akan situasi semasa dan dengan harapan, akan ada pula yang ingin turut berjuang bersama kami. Jika ada rezeki nanti mungkin kami dapat hasilkan karya-karya yang lebih jelas akan hala tuju politiknya. 

Tetapi persoalan politik menjangkaui hal muzik dan protes dan di sini, keterlibatan aku di dalam organisasi Sosialis Alternatif merupakan komitmen aku untuk melakukan perubahan melalui kuasa politik. Jadi ya, protes di dalam muzik rasanya menjadi dasar bagi kebanyakan pemuzik yang ada dan malah mengikut keadaan yang tertentu, ianya dapat menjadi sebahagian daripada gerakan massa. Namun, produk budaya merupakan salah satu alat untuk menyatakan protes dan hanya melalui gerakan pekerja itu sendiri, sebuah perubahan yang nyata dapat dilakukan.