Melewati Celah-Celah Keadilan #JusticeForBella

Alynn Sharuddin

#JusticeForBella menggegarkan negara yang sudah sedia dipukul ribut pandemik dan peningkatan kemiskinan secara mendadak. Mungkin juga boleh saya simpulkan asbab penyakit berjangkit jugalah kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa dera ini dijumpai dan diselamatkan. Saya tidak mahu meletakkan kronologi kes kerana saya pasti dengan satu klik pada hashtag tersebut, ratusan dan ribuan komentar boleh dibaca dengan mudah di media sosial. Tulisan ini sekadar mengajak kita merenung dan menyinggung.

Penderaan boleh dikategorikan kepada penderaan fizikal, emosi, seksual dan pengabaian. Imej Bella yang ditemui dengan luka-luka, parut dan keadaan fizikal seperti itu sangat meruntun jiwa. Imej kanak-kanak memang terlindung dibawah seksyen 15 Akta Kanak-kanak dan penyebarannya boleh dipertanggungjawabkan. Tetapi saya dapat memahami mengapa ia dilakukan oleh masyarakat simbolik kita, kerana ia merupakan bukti bahawa sesuatu telah berlaku. Adakah paparan imej kanak-kanak yang didera tersebut juga boleh dipertimbangkan sebagai salah satu cara membuktikan penderaan seterusnya meminta tekanan dari orang awam, saya menyangka-nyangka. Bukan semua orang awam memahami undang-undang dengan baik. Senator Ras Adiba Radzi dan Timbalan Menteri KWPKM kedua-duanya melakukan lawatan fizikal dan maya yang memaparkan imej Bella di media sosial. Hal ini berbeza bagi pihak-pihak seperti senator dan menteri yang sambil lewa tadi. Mereka harus lebih faham undang-undang berbanding rakyat biasa.

Namun fokus kita harus jelas – iaitu mencari jawapan tentang kanak-kanak yang dipercayai telah menjadi mangsa penderaan yang serius.

Terdapat beberapa isu dalam kes ini yang menarik perhatian saya dan menuntut jawapan. Pastinya isu ini akan hangat kerana individu yang terlibat mempunyai kedudukan tersendiri dalam masyarakat. Ada pihak yang mempunya kaitan dengan parti politik dan ada antaranya duduk di bawah Yayasan Kebajikan Negara. Jadi semestinya dengan kedudukan ini, masyarakat berhak menuntut dengan lebih berat. Mereka beranggapan individu terlibat merupakan individu yang mempunyai kesedaran tinggi akan hak kanak-kanak. Apalagi individu ini juga masing –masing merupakan pengasas dan penasihat bagi rumah transit remaja hamil, Rumah Bonda.

Saya memahami proses pengangkatan anak dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah proses yang melelahkan birokrasinya, meskipun bagi pasangan yang sudah lama berkahwin dan yang belum dikurniakan anak. Bagi ibu bapa angkat yang bujang pula, undang-undang tidak mendiskriminasikan mereka tetapi dikenakan tambahan syarat untuk menjamin kesejahteraan kanak-kanak tersebut nanti. Pengangkatan bukan bermaksud anak-anak menjadi hak milik ibu bapa baru. Pemantauan berkala akan dilakukan dalam tempoh percubaan. Maka saya agak takjub melihat pengangkatan enam orang anak dalam tempoh masa setahun berjaya diperolehi individu terbabit. Saya cuma mampu meneka-neka apakah rahsia dan amalan sehingga mendapat keistimewaan sebegitu rupa memandangkan tiada penjelasan atas perkara ini.

Isu penjagaan anak OKU juga salah satu yang mengambil perhatian saya. Ada kenyataan bahawa luka yang terjadi di badan kanak-kanak tersebut akibat perbuatan dirinya sendiri. Adakah ini satu usaha untuk mengurangkan kebertanggungjawaban kepada pihak penjaga? Untuk saya ini kerja gelojoh. Pastinya ia memerlukan laporan perubatan untuk mengenalpasti luka-luka yang ada. Luka tidak berbohong, ia mampu menyimpan sejarahnya dan menerangkan kembali. Seperti ibu-ibu yang sentimental apabila mengenangkan luka parut bersalin daripada proses kelahiran. Sekali lagi saya mengajak anda merenung, kita wajib sedar kanak-kanak tersebut bukan seorang kanak-kanak normal. Kanak-kanak sindrom Down memerlukan penjagaan yang intensif yang sesuai dengan keperluan seorang kanak-kanak berkeperluan khas. Sebarang pengabaian dan kecuaian bagi keperluan ini perlu digalas oleh penjaga termasuk mengabaikan hak bagi kanak-kanak tersebut mendapatkan rawatan penyakit berjangkit Covid-19.

Kontroversi ini juga membuka kelemahan dalaman pusat penjagaan tersebut yang dikatakan mempunyai reputasi buruk dalam praktis pengendaliannya. Terdapat saksi-saksi yang mula tampil dan orang awam yang pernah menyaksikan situasi dalam rumah tersebut.  Antara yang menarik perhatian saya dalam laporan Awani, ada penghuni yang melahirkan anak tetapi tidak boleh menjaga anak yang dilahirkan. Saya agak terganggu kerana attachment antara ibu dan anak merupakan fitrah semulajadi. Apabila ia tidak dibenarkan apakah logik kendalian yang dipraktikkan? Adakah keadaan itu menghormati kendiri individu? Adakah hak seorang ibu boleh dinafikan? Adakah kerana status mereka sebagai golongan rentan, apa saja praktis yang tidak masuk akal boleh ditimpakan ke atas mereka? Kanak-kanak mempunyai hak untuk tidak dipisahkan daripada ibu dan bapa mereka. Pemisahan hanya boleh ditentukan oleh mahkamah dengan mengambilkira faktor pengabaian dan kepentingan kanak-kanak.

Jagaan menurut Akta Pusat Jagaan termasuk perlindungan, pengawasan, pemulihan dan latihan manakala pusat jagaan bermaksud pusat jagaan berkediaman dan pusat jagaan harian. Tidak dapat tidak sekiranya kita membandingkan Akta Pusat Jagaan dengan Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984, dalam Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-kanak 2012 terdapat kewajiban bagi salah seorang pengusaha sekiranya pusat tersebut adalah usaha niaga bersama, pengurus, penyelia dan pengasuh hadir dan lulus Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak PERMATA. Bermakna risiko dalam pengendalian untuk kanak-kanak di taska sangat diambil kira. Begitu juga secara peribadi yang saya harapkan dalam syarat pusat jagaan.

Cara mendisiplinkan dalam Akta TASKA ialah tidak boleh menggunakan bahasa kasar yang tidak sesuai digunakan di hadapan kanak-kanak dan mengambil langkah pembetulan ke atas kanak-kanak yang terjumlah kepada suatu penderaan sama ada secara emosi atau fizikal. Kegagalan mematuhi subperaturan ini, boleh disabitkan kesalahan. Ini menarik kerana dalam laporan polis terhadap Rumah Bonda dan kenyataan penasihatnya dalam sesi langsung di Facebook miliknya mengatakan kejadian menyiram kuah tomyam ialah kejadian yang diketahuinya.

Suka saya mengingatkan, menjadi dan bekerja sebagai penjaga bukan bermakna kita menjadi pemilik kepada penghuni tersebut. Ia memang bukan kerja mudah dan ia juga bukan dipaksakan ke atas bahu orang yang mengaku melakukannya secara sukarela. Pengurusan konflik dan cara mendisiplinkan harus setanding dengan kesedaran yang kita ada, kerana itu dalam syaratnya ada ratio antara penghuni dan penjaga, logiknya supaya ia mampu dikawal selia dengan baik. Bagaimana kalau kuah tomyam tersebut terkena pada mata dan berupaya menyebabkan kecacatan kekal? Ada juga dakwa dakwi tentang membotakkan kepala penghuni yang degil. Sekiranya benar, hukuman ini bersifat regresif dan bertujuan buruk untuk memalukan. Dalam filem Muallaf, apabila Ani lakonan Sharifah Amani melawan kata-kata ibu tiri dan ayahnya, rambutnya telah dicukur botak sehingga luka. Umumnya kita tahu rambut ialah mahkota insan dan praktis memalukan empunya diri sebegini rupa adalah praktis yang tidak boleh diterima lagi. Kekerasan tidak boleh dipertahankan sebagai cara mendisiplinkan.

Tentang penulis:

Alynn Sharuddin merupakan seorang pelajar bidang kerja sosial dan berkecimpung dalam aktivisme. Beliau juga merupakan seorang tukang masak dan mengusahakan perniagaannya sendiri.