#KisahLawan – Cerita #Lawan Jilid 2

Projek #KisahLawan bertujuan untuk mendokumentasi cerita dan pengalaman para demonstran #Lawan, tidak kira sama ada mereka yang pertama kali atau berpengalaman ikut protes. Projek lisan ini cuba untuk merekod dan menjadi inspirasi buat semua yang akan ikut berdemonstrasi, sejarawan di masa hadapan dan mereka yang akan meneruskan perjuangan kita nanti.

Seni disumbang oleh Syarifah Nadhirah

#1 – “Aku turun bersama-sama dengan ribuan yang lain.”

Ini pertama kali aku turun berdemo, berjuang untuk hak aku sebagai seorang rakyat dan dalam masa yang sama juga menginginkan masa depan yang stabil bukan sahaja untuk negara, bahkan juga untuk masa depan adik-adik aku.

Dah lama juga aku perhati keadaan negara selepas diambil alih oleh kerajaan pintu belakang a.k.a Kerajaan Gagal. Terlalu pentingkan jawatan diri sendiri dan tidak mengambil kisah pun dengan keluhan rakyat. Aku sebagai seorang pelajar pun dah penat dengan keadaan sekarang dan juga ekonomi negara, ditambah pula dengan kelas dalam talian yang dah mula pun pada bulan ni yang menambahkan stress sebab tidak berapa jelas semasa belajar disebabkan oleh masalah internet atau pun cara pembelajaran yang dikira sebagai “kondusif” ini.

Disebabkan inilah aku turun bersama-sama dengan ribuan yang lain, menyuarakan perasaaan yang cukup sedih dengan keadaan negara sekarang di mana demokrasi tidak lagi berada dalam negara.

“Aku mati, seperti aku hidup, bersemangat bebas, tanpa taat setia kepada penguasa yang korup, surgawi atau duniawi.” – Skye

#2 – “Hentikan perang Kaum Tua terhadap orang muda.”

Aku seorang arkitek. Aku dah empat tahun tak pedulikan politik. Bukan sebab aku seorang yang selfish dan tak endah – tapi aku dihanyutkan oleh kerja dan mencari nafkah untuk bayar sewa, hutang PTPTN, MARA, loan kereta, kredit kad dan makan minum – juga cita cita narsis untuk berjaya dalam karier. Dalam aku terkejar kejarkan nafkah hidup, aku terpaksa terima hakikat industri ini: sebuah sistem eksploitasi pekerja dengan upah rendah.

Dengan penerimaan realiti ini, aku beberapa kali kerja sehingga 40 jam tanpa henti, balik pukul 6 petang akan diperli oleh bos dan sebagainya. Overtime memang langsung tak dibayar dan aku tak expect pun. Tapi yang membuatkan aku sedar setelah empat tahun kerja di firma korporat terkemuka di Malaysia ini ialah ianya sebuah mesin untuk mengerah pekerja sehingga setiap titik peluh itu menghasilkan wang untung untuk golongan Boomer yang jadi bos. Mereka dah berdekad memerah kreativiti dan ketekunan orang muda sehingga muda mudi penuh harapan ini hanya menjadi kuda tunggangan mereka sahaja.

Bagi aku, aku turun #Lawan bukan hanya sebab Parlimen ditutup. Aku turun untuk membuat kenyataan di ruang awam bahawasanya Kaum Tua (dalam semua sektor samada politik, ekonomi atau budaya) sedang memerangi orang muda dari segala segi. Ini kerana mereka telah pun mengumpul kekayaan dengan memerah orang lain – dan sekarang mereka sedang mempertahan sistem status quo di setiap peringkat masyarakat.

Muhiyiddin, Mahathir dan Anwar adalah simptom Kaum Tua yang degil dan membinasakan negara. Mereka ini juga ada sebagai CEO, tauke-tauke, profesor, arkitek, doktor, menteri – semuanya penghalang kemajuan masyarakat supaya mereka dapat kekalkan privilege mereka. Hentikan perang Kaum Tua terhadap orang muda – terapkan nilai progresif dalam setiap organisasi anda & bina semula kesatuan pekerja di setiap industri! – Manusia

#3 – “Terima kasih ayah kerana berjuang sehabis ikhtiar.”

“Yang terkorban akan tersia, jika air mata tidak menjadi bara.”

Seperti ditelan puisi, kini aku harus hidup dengan kata-kataku sendiri.

Aku tuliskan sajak di atas untuk #PuisiDarurat, dua minggu sebelum arwah ayah dijangkiti Covid-19 dan pulang ke rahmah-Nya.

Ayah memiliki sebuah kedai makan yang bermakna sejak PKP 2021 bermula, kedai ayah beroperasi. Ayah biasa berada di kaunter untuk bayaran walk-in, dengan keramahannya. Aku tahu ayah pasti akan terkesan kerana perlu berdepan ramai orang. Selalu ku pesan pada ayah untuk jaga SOP, pakai double mask dan sebagainya. Ayah cuma membalasnya dengan ucapan terima kasih. Aku tahu, bagaimana jua, ayah harus bekerja.

Hari yang paling aku takuti tiba. Ayah menghubungiku dengan tercungap. Tanpa diberitahu aku sudah dapat mengagak apa yang berlaku. Segala-galanya berlaku terlalu segera. Tiga hari kemudian, ayah dimasukkan ke hospital. Dua hari selepasnya, ayah masuk ke ICU dan diintubasi. Sehari kemudian, ayah meninggalkan kami sekeluarga selama-lamanya.

Ayah baru mendapat satu dos vaksin Sinovac, mungkin tak sampai dua minggu sebelum jangkitannya. Bermakna ayah tak sempat divaksinasi lengkap. Hari pemergian ayah, aku dapat tahu ada tiga lagi pemilik kedai makan di daerah sama yang turut pergi kerana wabak ini. Kenapa tidak perusahaan-perusahaan yang dibenarkan buka semasa PKP seperti kilang dan F&B dipercepatkan vaksinasi lengkap?

Menatap wajah ayah yang sudah tidak bernyawa di video call dan melihat jenazah ayah dikebumikan berbalut plastik, adalah momen yang akan selamanya berbekas di hati kami sekeluarga. Bukan cuma aku yang mengalami ini, anggaran lebih daripada 10,000 nyawa di Malaysia telah terkorban kerana Covid. Pakcik memberitahu, saat menuntut jenazah ayah di hospital, terlalu ramai waris dari mereka yang terkorban beratur sama.

Ayah dikebumikan pada senja yang paling damai dan segalanya dipermudahkan.

Aku redha akan pemergian ayah disebabkan Covid, tetapi aku tidak redha dengan kerajaan yang gagal dari segi kepimpinan dan polisi-polisi untuk membawa negara keluar dari wabak. Aku yakin Tuhan-ku juga tidak redha akan penindasan pemimpin-pemimpin yang sibuk berebut kuasa.

Al-Fatihah untuk ayahanda tercinta. Terima kasih ayah kerana berjuang sehabis ikhtiar, tinggal kami di sini untuk kekal tidak berputus asa. – Anonymous

#4 – “Setiap rakyat Malaysia mempunyai hak kebebasan bersuara.”

Ramai rakyat Malaysia khususnya anak muda berasa kecewa dengan pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional kerana gagal untuk menangani pandemik COVID-19 di negara ini.

Walaupun negara kita melanda pandemik COVID-19, ribuan peserta anak muda kita berani dan bangkit untuk turun berhimpun di sekitar Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Julai 2021 menuntut agar Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk Letak Jawatan kerana gagal mengawal pandemik COVID-19 di Malaysia.

Saya sebagai anak muda minta pihak Kerajaan dan pihak PDRM untuk tidak sekat suara anak muda dan hentikan memberi tekanan terhadap penganjur atau peserta anak muda yang terlibat dalam perhimpunan Keluar dan #Lawan.

Kebangkitan anak muda terpaksa turun ke jalanraya untuk menunjukkan perasaan tidak puas hati dan kecewa terhadap Kerajaan Muhyiddin Yassin yang gagal menunaikan tanggunjawab sebagai Perdana Menteri.

Setiap rakyat Malaysia mempunyai hak kebebasan bersuara dibawah Akta Perhimpunan Aman 2012
demi kebaikan Rakyat Malaysia dan kepentingan Negara.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Tahniah kepada penganjur Perhimpuan Keluar dan #Lawan serta anak muda yang berhimpun secara aman dan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh penganjur.

🏴 Walaupun saya tidak dapat menyertai, tetapi saya tetap akan memberi sokongan terhadap kebangkitan anak muda dan Kerajaan perlu melihat suara anak muda dengan serius, bukan dipandang rendah atau dihalang.

Kebangkitan Anak Muda 🏴 – Kogilan Mahendran

#5 – “…Cukuplah dengan semua itu;
bahkan tiada siapa pernah memilih, mengundi kamu.”

putar belit kata mereka
satu pun kami sudah tidak percaya
tiap hari ke sini ke sana
mahu buktikan kredibiliti yang tidak ada
cukuplah dengan segala tayangan sandiwara.

mana letak nilai tanggungjawabmu
mana letak nilai kepimpinanmu
mana letak nilai empatimu
mana letak akal fikiranmu
mana letak sifat malumu.

yang harus berkhidmat, hilang entah kemana
yang harus melindungi, berselindung di sebalik tembok tinggi
jika ada, hanya berpura – pura
jika ada, hanya yang mahu nama.

pengkhianat demokrasi berparlimen Malaysia
tidak akan ada lagi nyawamu nanti pilihan raya
setiap seksa derita tidak akan kami lupa
kerana perangai kamu yang tamak haloba.

mengapa masih mahu kami mengibar bendera biru
apabila kau membuat kehidupan kami bercelaru
cukuplah dengan semua itu
bahkan tiada siapa pernah memilih, mengundi kamu.

Seorang Rakyat Malaysia, H. #PuisiDarurat