Apa Ada Dengan Teater?

Azura Nasron

Seperti ritual yang ada pembuka upacara, jeritan, bacaan mantera, tangisan, pengorbanan dan penutup, begitulah juga manusia-manusia yang dari awal dilahirkan, keluar dari perut sang ibu dengan upacara yang berbeza-beza. Lantas, keluarnya jeritan seorang bayi dan dibacakan ayat-ayat suci di telinga. Lalu, kehidupan yang menyesakkan silang berganti antara tangisan dan pengorbanan hanya untuk diakhiri dengan satu penutup yang hiba.

Namun, kata bapak, penutup yang hiba itu tertakluk kepada sejauh mana kedalaman jiwa manusia dalam melakukan ritual-ritual penyembahan kepada sang dewa. Yang melakukannya dengan jiwa yang kosong dan rasa yang mati tidak akan capai sifat kasih sang dewa. Sebaliknya hanya penat dan lelah setelah berulang-ulang kali melakukan perkara yang sama. Kata bapak lagi, yang membezakan antara satu upacara dan upacara yang lain adalah bunyi-bunyi yang dikeluarkan untuk menarik ruh semangat pelakon utama. Gegendang untuk semangat merah api membara atau seruling untuk semangat hijau rumput di tanah gersang terpulang pada apa yang mahu diceritakan. Topeng pula jangan sesekali dilupakan kerana jika benar kata-katanya dan kena tepat semangatnya, yang keluar nanti bukan diri sendiri.

***

Pada PRU-14 yang lepas, Malaysia Muda telah menggunakan teater sebagai cara untuk berkempen di kalangan masyarakat. Bermula pada 26 April sehingga 8 Mei, sebanyak 12 kali lakonan telah diadakan disepanjang semenanjung Malaysia iaitu di Bentong, Lembah Pantai, Dungun, Paya Besar, Kuantan, Muar, Melaka, Simpang Renggam, Paloh, Semenyih, Permatang Pasir dan berakhir di Alor Setar.

Agusto Boal, seorang pejuang teater di Brazil telah mengeluarkan terma-terma baru bagi teater ini. Daripada Theatre of Oppressed, ke Forum Theatre, ke Invisible Theatre (IT). IT adalah sejenis bentuk teater yang dibuat bukan di panggung atau dewan yang khusus. Ciri bagi IT yang paling utama adalah penonton sama sekali tidak mengetahui bahawa persembahan yang dibuat itu adalah lakonan semata-mata walaupun lakonan adalah sesuatu yang dirancang dan bukan terjadi dengan tidak sengaja. Inilah cara yang digunakan oleh Malaysia Muda. Dengan mengangkat tema-tema kesusahan dalam masyarakat. Seperti GST, harga barang naik, minyak mahal, korupsi dalam Felda dan banyak lagi. Malaysia Muda akan pergi membuat teater di mana-mana ceramah kempen parti yang memanggil mereka untuk membuat lakonan.

Skrip pertama lakonan bermula dengan salah satu aktor (aktor A) yang berlakon menjadi menteri akan mencelah dan mulakan ucapan awam. Kata-kata yang diucap selalunya berbeza dengan realiti hidup masyarakat. Perkara ini dilakukan sengaja supaya para pendengar akan merasa marah dan bangkit. Dalam masa yang sama, akan bangkitkan seorang aktor yang lain (aktor B) yang kononya seorang rakyat bangkit dan melawan kata-kata menteri sebentar tadi. Teater ini menjadi lebih mengasyikkan bila ada para penonton yang mula bersuara bersama-sama dengan aktor B melawan aktor A. Ada masa-masa lakonan menjadi hangat bila ada penonton yang begitu marah sehingga hampir melakukan kekerasan terhadap aktor A.

Bagi skrip yang kedua, seorang menteri yang mengunakan topeng badut akan menceritakan pendirian pak-pak menteri disebalik wajah mereka yang baik di media dan parlimen. Disini, badut yang memainkan watak jahat dan zalim akan mengangkat isu-isu perkauman supaya rakyat Malaysia bergaduh, menakut-nakutkan masyarakat dengan bangsa cina, membiarkan negara dalam keadaan hutang, 1MDB, menyediakan rumah mahal supaya boleh dibeli oleh orang negara luar dan banyak lagi. Lalu, bangkitnya seorang rakyat yang akan menghancurkan menteri-menteri yang hipokrit tadi dengan pidato ringkas dan bacaan puisi oleh Widji Thukul.

Walaupun para aktor dalam Malaysia Muda hanya menyediakan dua skrip utama, tetapi dalam realiti lakonan, skrip-skrip akan berubah mengikut tempat. Dalam kawasan luar bandar tema-tema seperti hutang negara atau 1MDB tidak akan diberi perhatian. Jika kawasan itu merupakan kawasan Felda, para aktor akan menggunakan isu skandal Felda sehingga menyebabkan ketirisan berjuta-juta ringgit. Sekali gus memberi kesan kepada warga Felda terutamanya generasi kedua dan ketiga. Tema juga akan ditukar jika kawasan ceramah mempunyai lebih ramai perempuan daripada lelaki. Aktor akan menekankan tentang harga barang meningkat, susu yang mahal dan sebagainya. Tema-tema ini amat penting untuk dikenal pasti dengan lebih awal, supaya interaksi bersama penonton itu hidup. Berjayanya satu teater itu adalah apabila para penonton sekali bangkit dan menyedari tentang kedudukan mereka dan juga hak-hak mereka yang ditindas.

***

Teater merupakan satu perkataan yang berasal daripada perkataan lama Yunani yang bermakna ‘melihat’. Juga dikatakan teater berasal daripada perkataan theatron yang membawa maksud ‘tempat duduk penonton’ atau ‘stage.’ Sebelum ini, teater hanya digunakan sebagai sebuah ucapara ritual keagamaan. Tetapi setelah berabad- abad ia dimainkan, perubahan dalam skrip dan watak akhirnya menjadikan ia satu pesta. Malah, teater dulu hanya dimainkan untuk golongan bangsawan sahaja. Aktor-aktor yang melakonkan watak juga terhad kerana mereka bukan mengangkat seni dan kepelbagaian aktor tetapi sosok-sosok yang tertentu.

Akan tetapi, apa yang jarang disebut oleh orang ramai, bahkan tidak ditulis dan didokumentasikan oleh masyarakat adalah tentang teater jalanan. Teater jalanan merupakan satu acara yang lakonan yang main di ruang yang terbuka seperti di taman kanak-kanak, depan pusat membeli-belah atau tempat parkir kereta. Teater ini tidak terlalu popular di kalangan masyarakat. Kemungkinan kerana teater jalanan ini hanyalah picisan dan tidak tersebar dalam lapisan elitis. Walau bagaimanapun, figura-figura yang sering mengangkat teater jalanan ini sering mempunyai prinsip mereka yang tersendiri.

Antaranya adalah, pertunjukkan jalanan ini percaya bahawa mereka dapat menarik perhatian orang ramai dan menceriakan mereka tanpa perlu memandang status ekonomi mereka. Teater-teater yang ada kini selalunya hanya boleh dilihat setelah penonton membeli tiket kemasukan yang mahal. Hal ini menyebabkan masyarakat kelas rendah atau susah tidak dapat menikmati hasil seni ini. Jadi, dengan wujudnya pertunjukkan jalanan ini, sesiapa sahaja tidak perlu membeli tiket tetapi hanya mengambil kerusi atau duduk di tepi jalan sambil menonton pertunjukkan.

Seni teater ini sangat rumit dan kompleks jika dibandingkan dengan seni yang lain. Seni teater ini tidak berdiri sendiri atau tunggal sebaliknya ia hidup kerana gabungan seni-seni yang lain seperti tarian, lakonan, nyanyian dan sedikit unsur lawak. Dalam pada itu, seni teater juga menggabungkan unsur-unsur audio, visual, dan kinestetik yang meliputi bunyi, suara, muzik, gerak, bahasa badan serta seni rupa. Maka, untuk mencapai hasil bagi satu lakonan teater itu memerlukan gabungan pelbagai lapisan skop masyarakat. Berlainan pula bagi teater jalanan, kerjanya lebih mudah. Tidak perlukan ramai pelakon dan skrip yang panjang. Malah, kostum juga tidak diperlukan. Cuma kadang-kadang aktor akan memakai pakaian yang mengikut tema skrip, seperti baju melayu jika skrip tentang nasionalisme atau kemerdekaan.

Teater jalanan juga merupakan satu teater yang sering membawa realiti cerminan atau gambaran masyarakat. Tidak seperti drama-drama di TV, yang sering mengeluarkan cerita yang selari dengan fantasi masyarakat. Kesusahan-kesusahan masyarakat selalunya akan menjadi tema utama dalam teater jalanan. Contoh tema adalah seperti tema kemiskinan, kesusahan, kezaliman pemerintah dan sebagainya. Ini sekali gus akan memberi pendedahan kepada masyarakat yang tidak sedar dengan masalah yang ada.

***

Namun, secara realitinya, dalam 12 tempat yang Malaysia Muda pergi, bukan semua tempat menerimanya dengan terbuka. Ada yang tidak setuju dengan kesusahan yang rakyat mengalami kini. Ada juga yang menyuruh para aktor diam dan duduk. Tetapi ini adalah cerminan sebenar masyarakat pada hari ini. Walaupun secara terang-terangan masih wujud masyarakat yang susah dan miskin, akan ada juga sebilangan masyarakat lain yang akan menafikan perkara-perkara ini. Walaubagaimana pun, teater tetap teater, dan ia harus dihabiskan sehingga akhirnya. Apa yang harus disampaikan, akan disampaikan kepada masyarakat walaupun ramai yang menafikannya. Cukuplah media-media utama sering mengabaikan suara-suara yang tertindas.

Theatre is a form of knowledge; it should and can also be a means of transforming society. Theatre can help us build our future, rather than just waiting for it – Augusto Boal