Manifesto Ahli Ekonomi

Dikarang Amartya Sen serta terjemahan oleh Imran Rasid.

Theory of Moral Sentiments, Adam Smith (1759)

The Theory of Moral Sentiments adalah buku pertama Adam Smith yang terbit pada awal tahun 1759. Sewaktu itu, Smith, merangkap seorang profesor muda di University of Glasgow, sedikit bimbang memikirkan tanggapan umum akan bukunya itu, yang terhasil berdasarkan beberapa siri syarahan beliau sebelumnya. Tepat pada 12 April, Smith akhirnya menerima khabar daripada sahabatnya dari London, David Hume, perihal buku beliau. Menurut Hume, sekiranya Smith bersiap sedia dengan jangkaan untuk sebuah berita buruk, maka harus dikhabarkan padanya sebuah ‘berita yang menghampakan’ kerana ‘masyarakat awam nampaknya menyambut buku anda dengan begitu baik sekali’. ‘Buku-buku anda dicari oleh orang-orang yang tolol dengan rasa tidak sabar; manakala kaum pujangga pula menabur puji-pujian dengan lantang sekali.’ Sambutan baik untuk buku pertama Smith ini akhirnya disusuli dengan penulisan sebuah karya agung ekonomi dalam sejarah intelektual dunia.  

Pada permulaan abad ke-19, pengaruh buku Moral Sentiments mula menjadi pudar, dan Smith lebih senang dikenali sebagai penulis kepada buku keduanya, An Inquiry into the Nature and Causes of the Wealth of Nations, yang terbit pada tahun 1776, sekaligus menukar arus wacana ekonomi. Terabainya karya Moral Sentiments sepanjang abad ke- 19 dan abad ke-20 menatijahkan dua kesan yang cukup malang.

Pertamanya, sungguhpun Smith adalah antara yang terawal dalam menggagaskan bentuk analisis yang ‘tidak berpihak (impartiality)’ serta dimensi kesejagatan dalam etika (karya Moral Sentiments jauh mengawali karya-karya (etika) yang dikarang oleh Immanuel Kant, dan Kant sendiri turut merujuk tulisan Smith dengan kerap), Smith sering dipinggirkan dalam perbahasan falsafah dan etika mutakhir.

Keduanya, rata-rata idea yang dibentang dalam The Wealth of Nations telah ditafsir tanpa merujuk kerangka yang sudah Smith dirikan dalam Moral Sentiments (Smith sendiri banyak memetik karya awalnya dalam buku keduanya itu), justeru pemahaman umum tentang The Wealth of Nations akhirnya menjadi terbatas sekaligus merugikan wacana ekonomi itu sendiri.  Pengabaian ini menjadi penyebab kepada antaranya kegagalan untuk menghargai keperluan rasionaliti, kepentingan untuk menghargai kepelbagaian motivasi manusia, hubungan antara etika dan ekonomi, dan saling kebergantungan antara peranan institusi secara umum, serta peranan pasaran dalam sebuah ekonomi yang berfungsi.

Mengatasi sifat Mementingkan diri sendiri

Smith membahaskan bahawa motivasi di sebalik pertukaran ekonomi dalam pasaran boleh dijelaskan tanpa perlu merujuk mana-mana objektif melainkan ianya untuk memenuhi kepentingan diri sendiri. Dalam sebuah perenggan yang sering dipetik daripada The Wealth of Nations, beliau menulis: ‘bukanlah kerana kemurahan hati para penjual daging,  pembuat arak, atau pembikin roti apabila mereka menyediakan makan malam kita, sebaliknya ianya terdetik dari rasa mementingkan diri sendiri. Kita berperilaku sesama kita bukanlah atas dasar kemanusiaan, tetapi kecintaan pada diri masing-masing’.  Buat para pembaca yang beranggapan Smith sebagai penjunjung sifat cinta atau mementingkan diri sendiri (sifat yang diungkapkan oleh Smith tanpa rasa kagum), makna bagi seluruh korpus penulisannya seakan tersimpul melalui petikan yang disebutkan tadi, sungguhpun konteks perbincangan itu berlatarkan isu yang sangat spesifik, iaitu isu pertukaran (dan bukannya pengagihan dan pengeluaran). Malah lebih khusus lagi, tentang motivasi di sebalik pertukaran. Sekiranya ditinjau tulisan-tulisan Smith yang lain, begitu banyak sekali perbincangan tentang peranan serta motivasi lain yang mempengaruhi perilaku dan sikap manusia.

Selain dari perihal sikap cintakan diri sendiri, Smith turut membahaskan bagaimana sesebuah ekonomi itu berfungsi, terutamanya legar pasaran, dengan bantuan motivasi yang pelbagai. Di sini, terdapat dua proposisi yang berbeza. Pertamanya merujuk kepada perihal epistemologi, iaitu soal sifat manusia yang tidak berpandukan sifat penting diri dan cermat semata-mata. Keduanya adalah soal taakulan praktikal (practical reason) mengenai dakwaan yang menyebut bahawa terdapat alasan etika dan praktikal bagi motif selain daripada mementingkan diri sendiri, tidak kiralah dalam bentuk asas kecintaan diri atau sikap cermat yang halus. Smith menegaskan memang benar sifat ‘cermat atau hati-hati’ ini adalah ‘suatu nilai yang paling berguna buat individu’, namun nilai ‘kemanusiaan, keadilan, kemurahan hati, dan semangat bermasyarakat adalah kualiti yang lebih berguna untuk orang lain.’ Dua hal yang disebutkan Smith ini nyata berbeza dan sama penting, namun malangnya sebahagian besar ekonomi moden hari ini gagal menangkap maksud yang disampaikan beliau.

Malahan, krisis yang melanda ekonomi kita pada masa kini turut menjelaskan peri pentingnya untuk kita meninggalkan sifat mementingkan diri sendiri yang tak terbatas sekiranya kita mengidamkan sebuah masyarakat yang baik. John McCain, calon Republican dalam pilihanraya presiden Amerika pada tahun 2008, turut merungut dalam ucapan-ucapan kempennya tentang ‘ketamakan Wall Street’. Smith menyediakan sebuah diagnosis tentang hal ini: beliau menggelar mereka yang menyokong kegiatan berisiko tinggi semata-mata untuk untung sebagai ‘pemboros dan projektor’– sifat yang barangkali secocok dengan dengan peniaga-peniaga insurans pertukaran kredit dan hutang bawah prima (sub-prime mortages) baru-baru ini.

Smith menggunapakai perkataan  ‘projektor’ bukan dalam ertikata yang neutral seperti ‘seseorang yang membina sebuah projek’, tetapi yang dimaksudkan adalah sesuatu yang negatif, iaitu maksud yang lazim difahami pada tahun 1616 (begitulah yang tercatat dalam The Shorter Oxford English Dictionary) iaitu sebagai ‘pelobi syarikat-syarikat palsu; spekulator; atau penipu’. Maksud yang sama kita ketemui dalam karya Jonathan Swift, Gulliver’s Travels, yang terbit pada tahun 1726 (50 tahun lebih awal daripada The Wealth of Nations) dan sangat mirip dengan apa yang Smith cuba sampaikan.

Kebergantungan sepenuhnya kepada ekonomi pasaran tanpa kawalan boleh menyebabkan pelbagai musibah, antaranya menurut Smith, ‘sebahagian besar modal sesebuah negara’ akhirnya ‘dijauhkan daripada golongan yang mampu menggunakannya dengan baik dan bermanfaat, dan diserahkan pula pada golongan yang berpotensi untuk menghancurkan atau membazirkannya’.

Diagnosis Yang Palsu

Usaha yang bersungguh-sungguh untuk memastikan Smith tampil sebagai penyokong kapitalisme tulen, yang sepenuhnya bergantung pada mekanisme pasaran berpandukan motif keuntungan,  jelas tersasar dari maksud asal Smith. Smith tidak pernah menggunakan perkataan ‘kapitalisme’ (saya sejujurnya tidak pernah menemuinya ketika membaca Smith). Malahan, apa yang lebih penting lagi ialah beliau tidak pernah berhasrat untuk menjadi penjunjung mekanisme pasaran berlandaskan keuntungan, ataupun menentang institusi ekonomi yang berbeza dengan pasaran.

Smith yakin dengan sebuah ekonomi pasaran yang berfungsi, namun tidak merasakan ia sudah memadai. Beliau dengan tegas mengkritik diagnosis-diagnosis pincang tentang ‘campurtangan’ dalam ekonomi pasaran, namun tiada sekalipun beliau menafikan bahawa ekonomi pasaran juga ‘mengabaikan’ beberapa perkara penting. Beliau menolak ‘campurtangan yang mengketepikan pasaran’, tanpa menafikan ‘campurtangan yang mengambil kira pasaran’ yang   berperanan mengisi ruang-ruang penting yang tidak dapat diselesaikan oleh pasaran.

Smith melihat bahawa tugas ekonomi-politik itu tertumpu pada ‘dua objek yang berbeza’: ‘pertamanya, untuk menyediakan pendapatan yang mencukupi untuk rakyat, ataupun sebetulnya untuk membolehkan mereka mendapatkan pendapatan yang mencukupi untuk diri mereka; dan keduanya, untuk menyediakan pendapatan yang bercukupan untuk negara sesuai dengan tugasnya untuk melaksanakan kerja-kerja awam.’

Beliau mempertahankan kerja-kerja awam seperti pendidikan percuma dan bantuan kemiskinan, serta menggesa kebebasan yang lebih luas daripada apa yang disediakan oleh hukuman yang termaktub dalam Undang-Undang Kemiskinan pada zamannya untuk diberikan kepada golongan fakir yang terpaksa mengharapkan bantuan. Selain memberikan tumpuan pada komponen dan tanggungjawab sistem pasaran yang berfungsi (misalnya peranan kebertanggungjawapan dan amanah), beliau turut prihatin dengan kesenjangan ekonomi dan perihal kemiskinan yang boleh wujud sungguhpun berada dalam sebuah ekonomi yang maju.

Apabila berhadapan dengan soal regulasi yang menghadkan pasaran, Smith mengakui peri pentingnya campur tangan tertentu bagi melindungi golongan fakir dan yang terpinggir dalam masyarakat. Pada suatu peringkat, beliau merumuskan sebuah formula mudah yang fundamental: ‘Apabila regulasi diperkenalkan itu berpihak kepada golongan buruh, maka ianya pasti adil dan saksama; namun, sebaliknya boleh berlaku apabila regulasi berpihak kepada golongan tuan’. Hakikatnya, Smith sebenarnya adalah pendukung institusi-institusi struktural yang pluralis, dan mengangkat nilai-nilai sosial yang melangkaui motif keuntungan, baik dari segi prinsip mahupun dalam bentuk pengkajian.

Sentimen peribadi Smith juga wajar disebutkan di sini. Beliau menyatakan bahawa ‘tanggapan pertama’ terhadap soal baik dan buruk itu ‘tidak boleh menjadi objek penalaran, sebaliknya harus berakar dari rasa dan perasaan’. Sungguhpun tanggapan kita boleh berubah apabila pengamatan lanjut yang kritis dijalankan (sepertimana yang diakui Smith sendiri), persepsi-persepsi ini masih lagi berguna dalam menyediakan petunjuk akan kecenderungan dan kedudukan emosi kita.

Antara ciri penting yang melekat pada peribadi Smith adalah kecenderungan beliau untuk bersikap terbuka sebaik mungkin, bukan hanya pada ruang tempatan malah dunia juga. Beliau sedar bahawa kita mungkin bertanggungjawab atas  jiran tetangga kita, namun cakupan rasa prihatin kita harusnya melangkaui jurang tersebut. Dalam hal ini, saya ingin menambah bahawa kefahaman akan sisi-sisi etika Smith yang berangkat daripada prinsip keterbukaan amat sesuai dengan kecenderungan yang begitu kuat untuk melihat manusia secara fitrahnya sama – tidak kira di mana jua mereka berada. Terdapat sesuatu yang cukup mengkagumkan apabila Smith begitu senang melangkaui batas-batas kelas, jantina, kaum, dan kewarganegaraan serta melihat manusia terkandung dalam dirinya pelbagai potensi, tanpa sebarang perbezaan dalam soal bakat dan kemampuan.

Smith menekankan bahawa asbab pengabaian potensi manusia terikat dengan perbedaan kelas, misalnya melalui faktor kekurangan pendidikan serta kerja yang tidak menggunakan sebarang imaginasi, yang terpaksa dilakukan oleh kebanyakan dari kelas pekerja kerana situasi ekonomi mereka. Pembahagian kelas, menurut Smith, sebenarnya menggambarkan ketidakseimbangan peluang dalam pekerjaan, dan bukannya soal perbezaan bakat dan keupayaan terpendam.

Capaian Global

Tanggapan awal Smith yang meletakkan bakat antara manusia itu sama tidak terhad pada warga negaranya sahaja malah turut terpakai melangkau batasan budaya dan negara, sepertimana termaktub dengan jelas dalam Moral Sentiments dan The Wealth of Nations. Anggapan bahawa sesetengah kumpulan dari bangsa atau benua tertentu lebih rendah martabatnya, yang turut dianuti oleh banyak orang sezaman dengan beliau, tidak pernah muncul dalam sebarang tulisan-tulisan Smith.  Beliau juga berdepan dengan persoalan-persoalan ini bukan dengan lenggok yang abstrak semata-mata. Misalnya, beliau membincangkan mengapa beliau merasakan pengeluar Cina dan India sebenarnya tidak ada beza dari segi produktivitinya berbanding kaum Eropah, sungguhpun institusi-institusi mereka boleh menjadi penghalang.

Smith lebih cenderung melihat keterbelakangan ekonomi di Afrika adalah disebabkan faktor geografi yang tidak bernasib baik – ianya berbeza dengan ‘teluk dunia Arab, Parsi, India, Bengal, dan Siam di benua Asia’ yang mempunyai peluang untuk berdagang dengan dunia lain. Pada suatu peringkat,  Smith tanpa silu-silu meledak dengan nada yang marah: ‘ Tiada seorang orang kulit hitam dari benua Afrika yang tidak ada rasa kemurahan hati dalam jiwanya, sungguhpun tuannya yang zalim itu sendiri sukar untuk menerimanya’.

Capaian global penghujahan etika dan politik yang terzahir daripada penulisan  Smith adalah sesuatu yang unik dalam pemikirannya, dan hal ini berdiri bersama dengan kepercayaannya bahawa manusia itu lahir dengan potensi yang sama, dan terutamanya dalam konteks pembikinan undang-undang, sebarang ketidaksetaraan ekonomi di dalam dunia adalah hasil perilaku sosial, dan bukannya perbezaan alami.

Di sini terkandung sebuah visi yang kekal secocok dalam dunia hari ini. Kerelevanan idea Smith pada peringkat global sangat menakjubkan, dan melalui daya fikirnya yang cukup tajamlah maka visi global ini terhasil dari seseorang yang hidup hampir seperempat millenium yang lalu, dan menghabiskan hampir sepanjang hidupnya secara terpisah di sebuah pekan kecil di Scotland. Penyelidikan dan analisa Smith adalah berguna buat mana-mana masyarakat dunia yang bergelut dengan persoalan moral, politik, dan ekonomi. The Theory of Moral Sentiments adalah sebuah manifesto global dengan legasi yang maha penting buat dunia bebas yang kita diami hari ini.

Amartya Sen adalah pemenang hadiah Nobel dalam bidang Ekonomi pada tahun 1998. Beliau mengarang banyak karya-karya penting dalam bidang ekonomi, sejarah, dan falsafah. Antaranya ialah ‘Development as Freedom’, ‘The Idea of Justice’ dan ‘The Argumentative Indian’.

Esei ini adalah terjemahan esei “The Economist Manifesto” oleh Amartya Sen yang diterbitkan di laman sesawang newstatesman. Artikel asal boleh dibaca di pautan https://www.newstatesman.com/ideas/2010/04/smith-market-essay-sentiments