Malaysia Muda: Sepuluh artikel terhangat 2020!

Sidang Editorial Malaysia Muda

2020. Entah bagaimana kita mahu mengingat tahun yang penuh berantakan sekaligus penuh kemungkinan ini. Kami di Malaysia Muda konsisten mengeluarkan puluhan tulisan, dari esei, wawancara, fiksyen, perbincangan ke terjemahan melibatkan belasan penulis dan pengkarya. Tulisan yang diterbitkan kami untuk tahun ini benar-benar rencam melibatkan pergolakan sosio-politik dalam dan luar negara, arus perkembangan gerakan rakyat yang mengakar serta masa depan dunia yang mahu kita bayangkan bersama. Berikut senarai sepuluh artikel terhangat Malaysia Muda tahun 2020!

10. Does Malaysia already have Socialism? An Assessment of Our Public Institutions and Democratic Control

Menerusi siri ‘In Search of Praxis’ ini, Jeremy Lim merenung semula struktur institusi sosialis di Malaysia serta menimbang kemungkinan untuk proses pendemokrasian secara terus.

9. #MalaysiaYangMuda : Netusha Naidu

Siri wawancara ringkas bersama Netusha Naidu, penggerak Imagined Malaysia ini menjenguk kajian pasca-sarjananya dalam bidang Sejarah Dunia tentang gerakan nasionalisme di Patani serta kemungkinan wujudnya pensejarahan pinggiran Siam-Malaya. 

8. Ada Apa Dengan Kelas Masyarakat?

Lewat tulisan ini, penggerak kami, Audi Ali melihat persoalan kelas sebagai sebuah konsep analisis di Malaysia. Hujahnya dalam mengamati persoalan kelas ini adalah bagi menanggapi bagaimana eksploitasi kelas berlaku sekaligus, berupaya menjadi wadah bagi pembebasan kaum tertindas

7. #MalaysiaYangMuda : Ariff Asyrul

Lanjutan dari tumpuan kajian Ariff Asyrul, seorang penyelidik muda yang menelesuri perkembangan populisme di Malaysia, kami di Malaysia Muda cuba memahami bagaiamana populisme itu terbentuk serta digunakan sehinggalah seperti apa populisme merespon kepada krisis-krisis yang wujud.

6. #MalaysiaYangMuda : Fairuzzaman Shaharuddin

Satira bukanlah perkara asing di Malaysia. Untuk wawancara bersama Fairuzzaman Shaharuddin, kami bertanyakan kepadanya perkembangan satira politik di Malaysia bagi memahami bentuk satira, peranan Bahasa Melayu dalam budaya satira dan apakah satira itu jenayah?

5. #MalaysiaYangMuda : Eko Prayitno Joko

Wawancara panjang lebar ini berangkat dari kajian Eko Prayitno Joko, peneliti muda dari Sabah yang bersinggungan terus soal politik dan sejarah Sabah, khususnya seputar “historiografi pembebasan”, perkembangan penulisan “sejarah dari bawah” di Sabah dan sejarah yang mahu dibayangkannya.

4. Oh Vivy, Oh Ogy – Quo Vadis Pekerja Seni-Budaya?

Artikel yang ditulis sehari sebelum Aidilfitri ini melihat kerentanan pekerja budaya, khususnya sewaktu saat Covid-19 memuncak. Malaysia Muda mewawancara sutradara, Al Jafree Md Yusop dalam memahami ruang pekerja seni budaya serta hala tuju yang perlu digarap secara bersama.

3. Perlukah Kita Bergayut Dengan Orang Tua?

Karangan oleh penggerak Malaysia Muda, Ain Nasiehah ini menelaah kesan ‘politik tua’ yang membelenggu perkembangan masyarakat kita. Rumitnya persoalan gender, budaya serta kebergantungan kepada sistem politik sedia ada sekaligus merupakan cabaran yang perlu didobrak bagi politik baru untuk muncul.

2. #MalaysiaYangMuda : Nur Adilla

Wawancara bersama penggerak Universiti Terbuka Anak Muda, Nur Adilla ini membuka ruang yang menarik bagi meneliti pengalaman kolektifnya membaca khazanah sastera Malaysia, seperti apa projek novelnya pada masa akan datang serta logik dunia birokrat pasca 2018.

  1. Berdepan risiko dibuang kerja sewaktu Covid-19? Ini manual untuk melawan para bos yang rakus!

Menutup tirai sepuluh artikel terhangat Malaysia Muda 2020 ini adalah sebuah kiriman anonymous oleh seorang pekerja di sebuah firma. Catatannya ini, barangkali benar-benar menangkap sulitnya keadaan pekerja yang terdedah kepada eksploitasi majikan saat Covid-19 meletus. Pun, tulisan ini turut membuka ruang kemungkinan untuk kita terus menyusun jaringan gerakan bagi sebuah dunia yang lain.