Hanya kerana cinta, para revolusioner kan bangkit

Oleh Vijay Prashad. Terjemahan oleh Zikri Rahman.

Sumber: Tricontinental Institute for Social Research

Salam teman-teman,

Selamat buat semua dari meja Tricontinental: Institute for Social Research.

Sedekad berlalu sejak seorang lelaki bernama Mohamed Bouazizi membakar diri di sebuah pekan di Sidi Bouzid, Tunisia pada 17 Disember 2010. Bouazizi, penjaja jalanan, mengambil langkah terdesak selepas pihak polis mengganggunya berniaga semata-mata untuk terus hidup. Tidak lama kemudian, ribuan orang di sebuah pekan kecil Tunisia berkumpul di jalanan bagi menunjuk amarah. Amarah mereka meledak ke ibu kota, Tunis, di mana kesatuan sekerja, organisasi sosial, parti politik serta gerakan sivik berarak ke dataran bagi menggulingkan pemerintahan Zine El Abidine Ben Ali. Tunjuk perasaan di Tunisia menginspirasi letusan tunjuk perasaan di rantau lautan Mediteranean, dari Mesir ke Sepanyol, laungan dari Dataran Tahrir di Mesir – ash-sha’b yurid isqat an-nizam ‘(rakyat mahu menggulingkan regim’) – bergema dengan perasaan jutaan yang lain.

Rakyat membanjiri jalan, perasaannya didakap oleh indignados di Sepanyol: membuak marah. Mereka datang untuk meneriak yang harapan mereka dihancurkan oleh kuasa yang nyata serta yang tak terlihatkan. Para bilionar di dalam masyarakat serta hubungan rapat mereka dengan pemerintah – walaupun kemerosotan ekonomi gara-gara krisis kredit 2007-2008 – terlalu jelas. Sementara itu, kuasa pemodal kewangan yang menghakis kemampuan pemerintah (jika pun mereka menyebelahi rakyat) dalam menyediakan polisi yang manusiawi semakin sukar untuk dilihat, sekaligus memberi kesan yang menyukarkan.

Sentimen yang menyelubungi teriakan bagi menggulingkan regim dikongsi oleh majoriti rakyat yang menjadi resah dengan kerja sia-sia dalam mengundi para syaitan serta mereka yang berpura-pura; rakyat kini mencari sesuatu yang melangkaui horizon permainan pilihanraya yang seakan-akan membawa hanya perubahan yang kecil. Ahli politik masuk ke gelanggang pilihanraya mengucapkan sesuatu yang lain, untuk kemudiannya melakukan sesuatu yang terus berbeza saat mereka mengecap kekuasaan.

Di United Kingdom, misalannya, protes mahasiswa yang meletus pada November-Disember 2020 melawan pengkhianatan Demokrat Liberal yang berjanji bahawa mereka tidak akan menaikkan yuran; tanpa mengira siapa pun yang diundi, pengakhirannya rakyat tetap merana. Greece, France: sekarang di sini! laung para mahasiswa di UK. Barangkali mereka perlu mengambil kira Chile juga, di mana para pelajar (dikenali sebagai los pingüinos, atau ‘penguin’) turun ke jalan menolak peruntukan pendidikan yang dipotong; protes mereka membara ketika Mei 2011 dan berlangsung sehingga dua tahun yang dikenali sebagai el invierno estudiantil chileno, ‘Musim Dingin Mahasiswa Chile’. September 2011, gerakan Occupy di Amerika Syarikat menyertai ombak kemarahan global, yang muncul dari kegagalan kerajaan Amerika Syarikat untuk memperjelaskan penggusuran besar-besaran akibat dari malapetaka hutang yang berubah menjadi krisis kredit pada 2007-2008. ‘Satu-satunya cara untuk merasa ‘American Dream’, yang diconteng oleh seseorang di Wall Street, ’adalah hanya ketika tidur’.

Menggulingkan kerajaan menjadi slogan saat kepercayaan kepada pemerintah semakin lemah; yang dituntut adalah sebuah kehidupan yang melebihi apa yang boleh ditawarkan pemerintah neoliberal serta para bankir. Namun protes bukanlah untuk menggulingkan pemerintah semata-mata, kerana ianya bukanlah sekadar permasalahan dengan pemerintahan sahaja: ianya permasalahan yang mendasar tentang bentuk kemungkinan politikal yang masih perlu direbut masyarakat. Sudah bergenerasi lamanya, kita berdepan dengan pemotongan serta penjimatan oleh pemerintah di dalam bentuk yang berbeza, malahan pemerintahan oleh demokrat sosial sekalipun nampaknya seakan mengangkat hak pemegang bon yang kaya – berbanding – hak rakyat terbanyak. Ianya sesuatu yang menggusarkan apabila melihat pemerintah yang progresif, seperti kerajaan campuran Syriza di Greece pada 2015, sukar untuk menunaikan janji untuk tidak melakukan pemotongan belanja. (austerity)

Kebangkitan ini benar-benar punya nilai sejagat. Berjuta orang memakai Baju Merah di Bangkok pada 14 Mac 2010 turun ke jalan melawan pemerintahan tentera, monarki serta mereka yang berduit; di Sepanyol, separuh juta indignados berarak di jalanan Madrid pada 15 Oktober 2011. The Financial Times menulis sebuah artikel yang sangat berpengaruh memanggilnya sebagai ‘tahun kemarahan sejagat’, dengan salah seorang penulisnya mencatat bahawa kebangkitan ini meletakkan ‘para elit dengan rangkaian pemodal berdepan dengan rakyat biasa yang merasa dinafikan dari menerima kesan baik dari pembangunan ekonomi, serta geram akan rasuah’.

Laporan oleh Organisation for Economic Cooperation and Development (OECD) sejak Oktober 2008 menunjukkan bahawa di antara 1980 ke 2000, kesenjangan meningkat di antara dua puluh negara terkaya yang merupakan ahli kepada OECD. Keadaan di negara membangun sungguh dahsyat; laporan dari Persidangan PBB Hal Ehwal Pembangunan dan Perdagangan (UNCTAD) pada 2008 memperlihatkan bagaimana pecahan konsumsi nasional oleh populasi termiskin (poorest fifth) di rantau membangun menurun dari 4.6% ke 3.9% dari tahun 1990 dan 2004. Keadaan ini semakin teruk di Amerika Latin, Carribean, serta di bagian Afrika Sahara, di mana (poorest fifth) merangkumi hanya 3% konsumsi nasional atau pendapatan. Semua dana yang dikumpul hanyalah untuk membantu bank bagi mengelakkan krisis memburuk ketika 2008 tidak menjadi bentuk pengagihan pendapatan kepada berbilion warga yang menyaksikan kehidupan mereka bertambah rentan. Inilah yang kemudiannya menjadi titik-tolak kebangkitan ketika itu.

 Penting untuk dinyatakan bahawa apa yang ada di dalam statistik merupakan sesuatu yang menjanjikan. Pada Mac 2011, Alicia Bárcena, tonggak bagi UN Economic Commission for Latin America and the Caribbean (ECLAC), menulis bahawa walaupun kesenjangan ekonomi yang meningkat, kadar kemiskinan di rantau itu menurun kerana polisi sosial oleh beberapa kerajaan ketika itu. Paling memberi kesan, menurut Bárcena, adalah kerajaan demokratik sosial seperti di Brazil di bawah pentadbiran Presiden Lula da Silva, melalui polisi seperti Bolsa Familia, serta kerajaan kiri di Bolivia di bawah Presiden Evo Morales dan Venezuela di bawah Presiden Hugo Chávez. Para ‘indignant’ di bagian dunia yang ini sudah pun memasuki kerajaan dan menggerakkan agenda bagi mencapai tujuan mereka.

Sungguh tangkas mereka yang kaya itu berubah dari menggunakan bahasa bagi ‘mempromosi demokrasi’ kepada bahasa yang mengungkapkan tatanan serta undang-undang, dengan menghantar polis dan F-16 bagi menyingkir semua yang menunjuk perasaan keluar dari dataran serta mengancam negara dengan kudeta serta senjata.

Musim Bunga Arab (Arab Spring), yang mengambil namanya dari kebangkitan 1848 keliling Eropah, mereda saatnya Barat menggalakkan perang di antara kuasa serantau (Iran, Arab Saudi, dan Turki) dengan teras pusatnya di Libya serta Syria. Kehancuran negara Libya oleh serangan NATO pada 2011 sekaligus mengenepikan Kesatuan Afrika, menggantung semua perbincangan mengenai Afrique sebagai matawang ganti kepada French Franc dan dollar US, serta kemasukan campurtangan meluas oleh Perancis serta Amerika sepanjang rantau Sahel, dari Mali ke Niger.

Desakan semakin memuncak untuk menggulingkan kerajaan Syria bermula 2011 dan memburuk pada 2012. Kesatuan Arab yang semakin retak, semakin memberi kesan selepas perang haram Amerika ke atas Iraq pada 2003; sekaligus menjadikan Syria barisan hadapan di dalam perang serantau di antara Iran serta musuhnya (Arab Saudi, Turki serta Emiriah Arab Bersatu); sekaligus menafikan keutamaan perjuangan rakyat Palestin. Di Mesir, Jeneral Mohamed Ibrahim, menteri dalam negeri bagi sebuah junta pemerintahan tentera, dengan selambanya mengatakan, ‘kita hidup di zaman emas kesatuan di antara hakim, polis serta tentera’. Para liberal di Atlantik Utara mendukung jeneral; Disember 2020, President Perancis Emmanuel Macron menganugerahkan Presiden Mesir – bekas Jeneral – Abdel Fattah el-Sisi dengan Légion d’honneur, anugerah tertinggi Perancis.

Manakala di Amerika Latin, Washington melancarkan beberapa siri kebrobokan bagi menggulingkan apa yang difahami sebagai ‘Pink Tide’ (Arus Merah Muda). Dari percubaan kudeta terhadap kerajaan Venezuela pada 2002 hinggalah kepada kudeta 2009 di Honduras serta perang hibrid dalam menghukum semua kerajaan progresif di hemisfera Amerika, dari Haiti sampailah ke Argentina. Menurunnya harga komoditi – lebih-lebih lagi harga minyak – merencatkan aktiviti ekonomi di rantau itu. Washington menggunakan peluang ini untuk memaksakan tekanan dalam bentuk kewangan, diplomatik, ketenteraan serta maklumat ke atas pemerintahan Kiri, yang mengakibatkan tidak dapat menanggung tekanan. Kudeta terhadap pemerintahan Fernando Lugo di Paraguay pada 2012 adalah petanda apa yang akan terjadi terhadap Presiden Dilma di Brazil pada tahun 2016.

Secebis harapan bagi mengubah sistem ekonomi serta politik seringkali cuba untuk digagalkan lewat perang serta kudeta melalui tekanan yang melampau oleh pertubuhan seperti IMF. ‘Bahasa lama’ misalnya melibatkan ‘reformasi cukai serta subsidi’ serta ‘reformasi pasaran buruh’ muncul kembali bagi menjerut percubaan oleh negara bagi menyediakan bantuan kepada golongan menggangur serta mereka yang lapar. Jauh sebelum berlakunya virus korona, harapan sudahpun menjadi beku dan membusuk tatkala ianya adalah normal bagi para migran lemas di laut serta terperosok di kem tahanan saat berkoyan-koyan duit melintas sempadan bagi yang kaya mengelak cukai (pusat kewangan pesisir pantai (offshore) mempunyai hampir $36 trillion, jumlah yang cukup gergasi!)

Sekilas memandang ke belakang melihat kebangkitan hampir sepuluh lalu memerlukan kita untuk berada sejenak di penjara Mesir, di mana anak muda yang penuh harapan masih didekam di dalam penjara. Sepasang tahanan politik, Alaa Abdel El-Fattah serta Ahmed Douma saling berteriak antara satu sama lain dari kurungan mereka, sebuah perbualan yang diterbitkan di dalam buku berjudul “Graffiti for Two”. Apa yang diperjuangkan mereka? ‘Kami berjuang semoga satu hari nanti, satu hari di mana segala takdir yang melemaskan ini berakhir di mana hari-hari semalam tidak lagi akan berlaku’. Mereka enggan untuk semata-mata hidup di dalam waktu sekarang; mereka mencari masa hadapan. Para revolusioner, saat mereka bangkit, tulis Alaa dan Ahmed, hanya kisah ‘akan cinta, semata-mata’.

Di kurungan penjara mereka di Cairo, mereka mendengar kisah petani India, yang perjuangan mereka membangkit gelora sebuah negara; mereka mendengar akan jururawat yang turun protes sejauh Papua New Guinea serta di Amerika; bagaimana buruh kilang menunjuk perasaan di Indonesia dan Korea Selatan; mendengar akan pengkhianatan pada warga Palestin serta warga Saharawi yang mencetus aksi jalanan di seluruh dunia. Untuk beberapa bulan di senggang 2010-2011, ‘takdir yang melemaskan’ seakan kita tidak punya masa hadapan ini kemudiannya diketepikan; sedekad lamanya, warga di jalanan tetap mencari masa hadapan bagi memutuskan rantai kesengsaraan yang ada pada masa sekarang.

Ikhlas,

Vijay.

Vijay Prashad merupakan seorang sarjana sosio-sejarah serta pendiri Tricontinental: Institute for Social Research.